:::SEJARAH PENUBUHAN SEKOLAH:::
Bangunan sekolah SRA JAIM Merlimau Utara mula dibina pada Julai 2012. Dengan keluasan tanah hampir 0.8 ekar, sekolah ini telah siap dibina pada penghujung Disember 2012 dalam kawasan tanah wakaf perkuburan Islam Masjid Asy – Syujaah, Merlimau Utara. Pada 1 Januari 2013, sekolah ini telah mula beroperasi sepenuhnya buat kali pertama setelah hampir 5 bulan kerja pembinaan bangunan sekolah dilaksanakan.
Matlamat utama sekolah ini ditubuhkan adalah kerana, dua buah sekolah rendah agama yang terdapat dalam kawasan bandar Merlimau iaitu SRA JAIM Bandar Merlimau dan SRA JAIM Merlimau Pasir, tidak dapat menampung bilangan murid yang semakin ramai saban tahun. Hal ini juga disebabkan semakin bertambahnya kawasan taman perumahan yang baharu dibangunkan sejajar dengan pengiktirafan dan naik taraf pekan Merlimau kepada sebuah bandar kecil dalam daerah Jasin.
Disamping itu juga, penubuhan sekolah ini penting bagi mengatasi masalah murid-murid yang tinggal di kawasan taman perumahan yang berdekatan dengan kariah Masjid Merlimau Utara yang terpaksa berulang alik ke sekolah petang yang agak jauh dari tempat tinggal mereka sebelum ini. Maka hasil perbincangan JKKK Merlimau Utara bersama penduduk setempat, akhirnya sekolah ini telah berjaya didirikan.
Sumber kewangan utama penubuhan sekolah ini adalah melalui dana Kerajaan Pusat dengan kos perbelanjaan sebanyak RM 1.3 Juta yang telah disalurkan kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM). Peruntukan ini diumumkan semasa kunjungan Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Masjid Asy-Syujaah, Merlimau Utara sewaktu Pilihan Raya Kecil Dun Merlimau pada tahun 2011.
Justeru, penubuhan sekolah ini mendapat kebenaran Y.A.B. Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam ketika itu dan disokong oleh Y.B. ADUN Merlimau, pada mulanya Y.B. Mohd Hidhir dan disambung oleh Y.B. Roslan Datuk Hj. Ahmad. Oleh itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) diarahkan membina sekolah ini dengan tender kerajaan. Tender pembangunan sekolah ini diurus tadbir oleh pihak JKKK Daerah Jasin.
Pendaftaran murid bagi sesi persekolahan kali pertama pada tahun 2013, merupakan pecahan daripada dua buah sekolah SRA JAIM dalam kawasan Merlimau, iaitu seramai 200 orang dari SRA JAIM Merlimau Pasir dan seramai 100 orang dari SRA JAIM Bandar Merlimau. Maka, seramai 300 orang murid keseluruhannya dengan dikendalikan oleh 9 orang guru serta seorang pembantu am sekolah. Sekolah ini juga di bawah pentadbiran Guru Besar, Ustazah Ruhayah Mohamad merangkap penasihat Lembaga Kemajuan Sekolah (LEKAS). Manakala Ahli Jawatankuasa LEKAS sejumlah 17 orang pula, terdiri daripada wakil beberapa orang guru sekolah, AJK dan Pegawai Syarak Masjid Merlimau Utara serta sebilangan penduduk setempat yang telah dilantik oleh Pengerusi JKKK Merlimau Utara dan mendapat kelulusan JAIM.
No reviews yet. Be the first to add a review.